Selamatkan Kedah

Selamatkan Kedah
_____________ LOGO ATAS NI PINJAM DARI MUKHRIZ ________

Monday, October 1, 2018

MENTERI BESAR(MB) KEDAH MASIH ULANGI PERANGAI LAMA




Mengikut data yang di keluarkan oleh kerajaan pusat, Kedah adalah sebuah negeri yang hutangnya tertinggi di Malaysia. Oleh itu Kedah tidak boleh ketinggalan mahu pun mundur kerana ianya berada di pantai barat yang sama dengan negeri-negeri maju dalam jajaran lebuhraya Utara Selatan.

Kedah juga mempunyai sambungan landasan keretapi daripada Singapura ke Hadyai Thailand. Kenapa Kedah masih mundur? Untuk itu Kedah mesti mempunyai Menteri Besar yang berdaya saing untuk memajukan negeri.

Rungutan terhadap Datuk Seri Mukhriz kini makin memuncak bukan sahaja daripada rakyat dan ahli-ahli parti tetapi juga daripada pegawai-pegawai kerajaan yang ingin melaksanakan tugas di bawah kerajaan baharu.



Menteri Besar tidak dapat mengatur perjalanan negeri dengan segera untuk bergerak maju. Mengikut pegawai-pegawai kerajaan, sehingga artikel ini ditulis tiada lagi Mesyuarat Perancangan Negeri.

Tiada lagi Mesyuarat Tindakan Negeri. Tiada Mesyuarat Pembangunan Negeri. Inilah keluhan daripada para pegawai Daerah yang ingin berkhidmat untuk kerajaan PH. Keluhan Ketua Jabatan Luar pula makin berlarutan apabila tidak dapat bertemu dengan MB agar dapat mengemukakan hasrat jabatan mereka.

Pengarah FELCRA mengeluh, Pengarah MARA juga mengeluh malah lebih mengecewakan Pengurus Besar KEDA tidak dapat memanggil mesyuarat lembaga di saat-saat beliau akan bersara pada bulan September ini.

Sibuk sangatkah sehingga tidak dapat berjumpa dengan ketua jabatan untuk mendapat maklumat tentang perjalanan jabatan mereka. Apa yang beliau ingin laksanakan? Kemana beliau berada?

Apakah keutamaan MB Kedah? Adakah untuk bola sepak sahaja? Itu pun tidak beliau laksanakan. Mesyuarat pengurusan Kedah Football Association(KFA) langsung tidak nampak batang hidung. Samada di kendalikan secara senyap-senyap oleh Saudara Anas Setiausaha Politik beliau mahupun di hadiri oleh Setiausaha Kehormat KFA YB Asmirul Anuar Aris.

Prestasi bola sepak Kedah merudum kerana sikap Presiden yang langsung tidak mengambil peduli. Beliau hanya hadir untuk menyaksikan perlawanan dan bahagian yang paling penting ialah bergambar dengan pemain mahupun peminat.

PUTERA BANGSAWAN

Semenjak kemenangan PRU-14 pada 10 Mei 2018 hingga kehari ini, Dato Seri Mukhriz masih berada di alam khayalan. Apa yang di lakukan beliau hanyalah persis seorang Putera Bangsawan perlu di suap sehinggakan makan dan pakai. Beliau bukan pejuang rakyat seperti ayahanda beliau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pentadbiran masih lagi di takuk lama sedangkan masa sudah beranjak 5 bulan. Hanya program "stereo type" yang masih tidak keluar dari patah perkataan 'melawat' dan 'merasmikan'. Tiada pergerakan memajukan negeri di laksanakan. Tiada pelabur asing yang ingin melabur. Tiada perancangan masa depan.

Board Of Director(BOD) atau Ahli Lembaga Pengarah untuk Anak Syarikat Kerajaan Negeri atau lebih di kenali sebagai Government Link Company(GLC) tiada langsung setitis usaha di gembeling untuk di isi kekosongan perlantikan samada di jawatan BOD mahupun Pengerusi GLC setelah usia pemerintahan menginjak 5 bulan. Datuk Seri Mukhris tidak berminat mahu menyelesaikannya. Apa yang ada di dalam minda beliau sehinggakan pengurusan kerajaan tidak dapat di laksanakan?

Tiada langsung pengawasan MB Kedah pada GLC. Sebagai contoh: PKNK umpamanya bagaikan hidup segan mati tak mahu kerana tiada perhatian. Lihat pada Kumpulan Bina Darulaman(BDB) sebuah GLC yang tersenarai dibursa utama, apabila 'Manager Director' meninggal pada bulan Mac lalu sehingga kini tidak dilantik pengganti.

Keseluruhan GLC mengalami kerugian berjuta ringgit terutamanya BDB. Boleh lihat pada lapuran tahunan tetapi ini langsung tidak di endahkan oleh Datuk Seri Mukhriz selaku MB Kedah. Sebelah mata pun tidak di pandangnya. Apa perlu menanti sehingga ranap menyembah bumi keseluruhannya baru tindakan akan di ambil?

YB Tan Kok Yew selaku EXCO Pelaburan dan Industri Tinggi tertunggu-tunggu kenapa beliau tidak di lantik bersama dengan PKNK. Apa yang masih tak kena? Kenapa tidak memberikan kepercayaan kepada anggota EXCO beliau sendiri?

BOD penting selain PKNK seperti SADA turut tidak mendapat perhatian. YB Zamri Yusof yang juga EXCO sumber air sehingga kini masih ternanti-nanti perlantikan dalam BOD SADA. Begitu juga KULIM HIGH TECH malah banyak lagi GLC di rundung malang. Kesemua mesyuarat tidak dapat di lakukan kerana tiada sebarang lantikan.

Ada GLC terdesak telah di buat perlantikan Pengerusi(Chairman). Contohnya Yayasan Islam Kedah(YIKED) diserahkan kepada YB Phahrolrazi. Apa yang hendak di lakukan beliau memandangkan BOD masih tidak di lantik? Nak mesyuarat dengan siapa? Kemana hala nak di tuju?

Apa nak jadi? Mengikut sumber daripada Kumpulan Ladang anak syarikat kepada PKNK, tahun ini pokok getah dan kelapa sawit tiada peruntukan baja kerana tiada BOD. Maka tender untuk baja tidak dapat dibuat/diluluskan. Jadi kesemua pokok wajib berpuasa tahun ini kerana MB lembab.

Dari segi tugas MB ada 5 portfolio penting:

i. Kewangan
ii. Hasil bumi
iii. Perancang ekonomi
iv. Tanah dan galian
v. Perhutanan.

Beliau juga ialah:

1. Timbalan Presiden PBBM
2. Pengerusi PH Kedah.
3. Pengerusi PPBM Kedah.
4. MB Kedah
5. ADUN Jitra
6. Ahli Parlimen Jerlun

Lantikan GLC:

7. Pengerusi KEDA
8. Pengerusi SADA(Air Kedah)
9. Pengerusi PKNK
10. Pengerusi KMC(Kedah Medical Centre)
11. Pengerusi KULIM HI TECH
12. Pengerusi LADA

13. Presiden Kedah Football Association(KFA)

Banyak betul jawatan beliau. Tamakkan kuasa tetapi tiada kudrat yang mampu di laksanakan. Sistem pemerintahan tidak di agihkan secara kolektif untuk membina sebuah Negeri. Sepatutnya agihan kuasa atau penurunan kuasa harus di lakukan untuk bersama membina dan membangunkan negeri Kedah. Tetapi ini tidak berlaku.

Beberapa perkara sepatutnya berlaku untuk menjadikan Kedah negeri bergerak maju namun tidak di laksanakan. Beliau tidak mengurus tadbir mahu pun menyelia negeri. Hendak di katakan mentadbir seorangan mahupun secara Pakatan Harapan tidak berlaku. Mudahnya, beliau langsung tidak mentadbir.

Sejarah membuktikan ketika menjadi MB di bawah payung Umno, beliau mengambil masa selama 2 tahun 6 bulan untuk menyelesaikan kesemua yang tersebut di atas. Tiada tarikh luput untuk perlantikan jawatan GLC. Gagal untuk bertanggungjawab ke atas amanah di berikan oleh rakyat ialah jawapan sebenar.

Inilah di antara perkara yang menjadi kemarahan ahli Umno pada ketika itu. Alasan pertelingkahan dengan Datuk Seri Najib melalui isu 1MDB hanyalah alasan di pihak pimpinan dan bawahan Umno untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz. Pemimpin Umno dan ahli Umno telah lama bersabar. Kemuncaknya beliau di singkirkan sebagaimana yang kita tahu.

PARTI DI ABAIKAN

Sehingga kini mesyuarat parti tidak pernah di adakan. Banggunan Stargate di biarkan begitu saja bagaikan sepi tanpa penghuni. Bahagian PPBM turut menerima habuan yang sama tanpa pengurusan parti. Ahli bawahan di biarkan tanpa sebarang maklumat.

Sekali lagi sehingga artikel ini di tulis, pelantikan Penyelaras DUN belum dilantik dari pihak PPBM. Apa yang menjadi masalah sangat untuk membuat perlantikan? Tanyalah mana-mana Ketua Bahagian PPBM di Kedah hakikat tersebut. Bagaimana hendak memberikan khidmat kepada masyarakat?

Sejujurnya Datuk Seri Mukhriz tidak mahu berhadapan dengan masalah. Atau dengan kata lain, 'he can't facing to the problem', itulah penyakit beliau dulu dan kini. Anakanda kelahiran bangsawan ini tidak mahu berdepan dengan penyelesaian perkara berbangkit. Beliau gagal serta tidak mahu untuk berhadapan bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Beliau hanya mahu di kenali seperti artis popular. Mengekalkan rentak populist di mata media tetapi bukan menjadi pemimpin akar umbi yang boleh menjadi dahan rimbun untuk ahli bawahan tempat berteduh. Hebat ketika berselfie mahupun bergambar adalah ciri kehebatan beliau.

Ini dapat di lihat dengan majlis rasmi yang beliau lawati mahupun perasmian yang di buat. Itu pun banyak program rasmi kini acap kali di ganti oleh EXCO. Kedah bukan di hati dan jiwanya. Hanya beberapa hari dalam seminggu beliau berada di Kedah manakala yang selebihnya pulang ke pangkuan isteri tersayang di Kuala Lumpur. Tidak hairanlah jika mesyuarat EXCO pernah berlangsung di Kuala Lumpur. Bukankah tindakan sebegini mengundang kos?

Ada ahli PBBM bertanya: "MB larat pegang sebagai pengerusi beberapa syarikat? Boleh ka MB atur untuk mesyuarat dan mengambil tahu kesemua perjalanan anak syarikat ini.."

Seorang ahli PBBM menjawab: "Hampa boleh bilang tengok.. apa dia buat?"

Ahli PBBM yang ke 3 pula berkata: "Banyaknya.. Boleh ka MB buat semua ni. Aku tengok asyik balik KL saja.. Ada orang tolong kira. Selama seratus hari.. MB hang hanya buat mesyuarat exco 9 kali daripada 25 minggu. Berada di pejabat Wisma tak sampai 50 hari waktu kerja. Lagu mana dia nak jalankan tugas...?"

AHLI PPBM LARI MENINGGALKAN PARTI

Pelbagai masalah dalaman politik PBBM mula membarah. Ramai ahli PBBM di Jerlun, Kubang Pasu, Pendang dan lain-lain kawasan sudah melarikan diri untuk menyertai parti lain. Jikalau ini di biarkan berterusan, PRU-15 PH bakal bungkus.

Perebutan jawatan masih menjadi api di dalam sekam. Masing-masing ternantikan bentuk ganjaran yang di janjikan. Lantas pemberontakan dalaman telah terjadi bermula selepas penubuhan PPBM sehingga kini.

Datuk Seri Mukhriz sebagaimana maklum adalah Pengerusi PH Negeri Kedah. Takala negeri lain telah membuat Pelan Pilihanraya Hala Tuju Negeri untuk 5 tahun akan datang dari 2018 hingga 2023, Kedah masih terkial-kial.

Bagaimana hendak di laksanakan peluang di masa akan datang jika untuk dapatkan tarikh Mesyuarat Majlis Pengerusi PH pun masih mengelak sambil mendiamkan diri seribu bahasa. Paling mudah pada Dato Seri Mukhriz ialah buat bodoh atau pekak badakkan telinga seolah tidak perlu tahu apa yang harus di buat.

Jumlah kerusi DUN di Kedah ialah 36. PBBM bertanding 14 kerusi DUN, iaitu yang paling banyak berbanding kerusi AMANAH, PKR dan DAP. Malangnya PPBM cuma menang 5 DUN:

1. DUN Kuah
2. DUN Air Hangat
3. DUN Bukit Kayu Hitam
4. DUN Jitra
5. DUN Anak Bukit(Amiruddin Hamzah penyandang)

Empat DUN(1-4) berada di dalam Parlimen Langkawi dan Parlimen Kubang Pasu di kenal pasti sebagai gelombang Tun Dr Mahathir. Faktor Tun amat kuat di sana bukan atas nama bekas MB Kedah.

Kemenangan di negeri dan negara seharusnya di jadikan landasan untuk PPBM dan PH menggunakan peluang yang terhidang dengan baik untuk menambahkan ahli mahupun cawangan. Apakan daya Datuk Seri Mukhriz tidak berminat.

15 kerusi berjaya di tawan oleh Pas manakala 3 kerusi lagi berada di tangan Umno. Kenapa terjadi sedemikian? Ini berpunca dari masalah di antara parti komponen PH yang tidak berjaya di gabungkan dengan baik di pelbagai peringkat DUN kalah. Maklumat agihan kerusi tidak di sempurnakan dengan baik untuk ahli PPBM mengerti proses pembahagian kerusi di kalangan PH. Selaku Pengerusi PPBM beliau tidak menjelaskan dengan baik kepada anggota bawahan. Inilah puncanya.

Kepada Datuk Seri Mukhriz sila mengaku dengan hati yang ikhlas dan jujur. Berterus terang sajalah. Jangan buat inanya kepada rakyat kedah. Tinggalkan Kedah kepada orang lain jika sudah tidak mampu mentadbir. Berundur secara terhormat.

Jangan biarkan pasukan lama di sekeliling anda bermula dari Setiausaha Politik dan lain-lain semenjak zaman BN dahulu menjadi dalang di belakang tabir. Rakyat Kedah tidak memerlukan PUTERA BANGSAWAN di mata pengundi yang membawa urustadbir dan pendekatan politik hancur lebur.

Anda laksana nakhoda yang tiada perancangan dan halatuju kerana membiarkan sahaja kapal belayar tanpa haluan. Semoga sedikit teguran ini akan menyedarkan MB Kedah dari terus berada di dalam lena yang panjang.

-Rakyat Kedah

No comments:

Post a Comment